Tuesday, March 15, 2011

14 & 15 MAC 2011 - LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE NEGERI MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH

14 Mac 2011, seramai 37 orang murid beserta 5 orang guru telah mengikuti rombongan sekolah ke negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Murid yang terlibat adalah di kalangan murid Tahap 2 manakala guru-guru yang mengiringi lawatan ini adalah Cikgu Yusri, Cikgu Afidzi, Cikgu Zuhaili, Cikgu Kamil dan Cikgu Norbaizura. Rombongan bertolak pada jam 830 pagi dari dataran perhimpunan sekolah dan sampai di Taman Rama-Rama dan Reptilia di Ayer Keroh selepas dua jam perjalanan. Setelah berada hampir 1 jam di Taman Rama-Rama, rombongan seterusnya menikmati hidangan makanan tengah hari sebelum memasuki Zoo Melaka bagi melihat pelbagai hidupan liar yang ditempatkan di dalam sana. Hampir jam 3 petang, rombongan ke Banda Hilir bagi membeli barangan makanan dan cenderamata yang pelbagai dan menarik. Jam 5 petang, rombongan menuju ke tempat penginapan hostel di Jasin. Setelah semua bersiap sedia membersihkan diri dan makan malam, rombongan bergerak kembali ke Banda Hilir bagi menikmati suasana malam dengan menyusur Sungai Melaka secara menaiki bot di Melaka River Cruise yang bertempat di Taman Rempah. Jam 1100 malam, rombongan kembali ke tempat penginapan untuk tidur sebelum meneruskan aktiviti pada keesokan harinya.

15 Mac 2011 - Hari kedua, sebaik menikmati sarapan pagi, rombongan mula bergerak sekitar jam 9 pagi menuju ke Banda Hilir untuk menikmati pemandangan udara sekitar Melaka dengan cara menaiki Menara  Taming Sari. Menara yang tertinggi di negeri Melaka ini memberi peluang yang baru kepada murid-murid untuk melihat Banda Hilir secara lebih jelas. Selesai sahaja menaiki Menara Taming Sari, rombongan ke Dataran Pahlawan bagi melihat pelbagai barangan dan alatan serta cenderamata yang dijual. Sebaik rombongan membeli barangan yang dikehendaki, seterusnya rombongan menuju ke kota A Famosa dan menaiki Bukit St. Paul bagi melihat pemandangan Banda Hilir dari puncak bukit. Sebaik turun dari bukit, rombongan menuju ke Kompleks Samudera bagi membeli beberapa barang sebelum bas bergerak pulang. Rombongan bertuah kerana diberi peluang untuk menaiki Menara Taming Sari kali kedua sebelum bergerak pulang ke sekolah. Perjalanan yang memakan masa dua jam itu akhirnya pada jam 4 kami selamat sampai di SK(A) Bukit Kemandol. Walaupun begitu, beberapa tempat tidak dapat dilawati kerana keadaan murid yang cepat letih dan tempoh masa yang terhad sepanjang lawatan ini. Namun, yang pastinya, murid diberi pendedahan yang lebih luas tentang Negeri Melaka yang sebelum ini hanya diketahui melalui buku teks dan televisyen sahaja. Terima Kasih kepada semua yang terlibat dan kepada Negeri Melaka, InsyaAllah kita berjumpa lagi!

Murid-murid berkumpul di dataran perhimpunan sebelum menaiki bas
Murid mengambil tempat sebelum memulakan perjalanan
Destinasi pertama, Taman Rama-Rama dan Reptilia, Ayer Keroh
Cikgu Yusri bersama murid membelakangi kandang haiwan primat
Murid-murid membelakangi haiwan eksotik, iguana
Bergambar bersama merak putih
Adik Roosen berlatar belakangkan Iguana terbesar
Adik Roosen bersama haiwan primat yang boleh disentuh
Cikgu Yusri mendapatkan tiket setibanya kami di Zoo Melaka
Murid-murid menyentuh kuda padi di Zoo Melaka
Merentasi denai melihat dua ekor tapir yang sedang berehat
Gaya malam empat orang murid perempuan sebelum ke Banda Hilir
Adik Junlenzani, Zulhafizal dan Hardi beraksi sebelum memasuki Melaka River Cruise
Murid beratur sebelum menaiki River Cruise
Murid bergambar berlatar belakangkan bangunan utama Menara Taming Sari

Murid mengadap Menara Taming Sari

Murid berada di dalam Menara Taming Sari

Cikgu Zuhaili sempat memberikan pose yang penuh debar...hahaha

Cikgu Yusri memberi taklimat semasa di Dataran Pahlawan

Murid-murid berhenti rehat seketika sebelum memulakan perjalanan seterusnya

Cikgu Yusri memberikan sedikit penerangan berkenaan sejarah Melaka

Murid-murid bergambar kenangan di hadapan Kota A Famosa

Murid melemparkan syiling semasa berada di bangunan di atas Bukit St. Paul

Keadaan di dalam bangunan tinggalan di atas Bukit St. Paul

Murid menuruni Bukit St. Paul

No comments:

Post a Comment