SEJARAH SEKOLAH



Sekolah Kebangsaan Bukit Kemandol telah mula dibina pada tahun 1959 atas usaha Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ( JHEOA ) dengan bantuan mendiang Encik Tanah anak Muhamad yang ketika itu merangkap Pembantu Batin yang mewakafkan tanahnya seluas 0.8 hektar serta bantuan penduduk kampung yang memberi sumbangan tenaga.

Idea untuk membina sekolah ini adalah hasil perundingan orang-orang kampung yang mahukan pembangunan dijalankan dikampung ini. Pembinaannya juga untuk menggalakkan anak-anak orang asli mendapat ilmu daripada pendidikan cara moden dan lebih sistematik.

Sekolah ini telah mula digunakan pada awal tahun 1960 dan kemudiannya diperbaiki dan disimen pada tahun 1963. Pada tanggal 25 Mei 1975, bangunan asal sekolah ini telah musnah dipukul ribut. Oleh itu pejabat sekolah ini telah menumpang di balai raya yang terdapat di kampung ini termasuk muridnya sekali.

Beberapa bulan kemudian sebuah lagi bangunan tambahan yang berukuran 30 x 18 kaki telah dibina oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli untuk menampung kekurangan bilik darjah.

Pada 9 September 1979 sebuah lagi bangunan baru telah dibina di atas tapak runtuhan bangunan sekolah lama. Pada tahun 1988, sekolah ini telah pun mendapat bantuan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak RM 25.000 bagi membina dua bilik darjah dalam sebuah bangunan. Pembinaan dibuat secara bergotong-royong bersama-sama dengan penduduk kampung.

Di dalam memantapkan lagi pendidikan moden di kalangan anak-anak orang asli, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membina bangunan sekolah di kawasan (tapak) yang lebih strategik dan tersusun di Kampung Bukit Kemandol. Bangunan sekolah yang lebih sempurna ini terdiri daripada dua blok bangunan dan sebuah kantin. Jarak diantara bangunan sekolah lama dan sekolah baru ialah lebih kurang 1 KM. Bangunan sekolah baru telah mula digunakan pada 11 Disember 1995 oleh sebahagian murid. Bangunan sekolah lama masih dikekalkan sebagai pusat pentadbiran dan pembelajaran.

Memandangkan kedudukan bangunan sekolah baru dengan sekolah lama agak terpisah dan menyukarkan pihak pentadbir sekolah serta keadaan bangunan sekolah lama yang uzur, pihak sekolah telah mengambil inisiatif berpindah secara keseluruhannya ke bangunan sekolah baru pada 2 September 1997. Semua bilik darjah ditempatkan di bangunan sekolah baru. Kekurangan bilik diatasi dengan menumpang bangunan dewan orang ramai yang terletak berhampiran dengan bangunan sekolah baru.

Diatas keprihatinan Kementerian Pendidikan Malaysia, sebuah lagi bangunan sekolah tiga tingkat telah dibina untuk mengatasi masalah kekurangan bilik darjah. Bangunan ini siap dibina pada 13 Disember 1998 dan mula digunakan pada 4 Januari 1999. Pertambahan bangunan ini telah dapat mengatasi masalah kekurangan bilik darjah dan memberi keselesaan kepada murid-murid.

Bangunan baru ini telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Hj. Shafie bin Mohd. Salleh; DSSA,SSA,KMN,AMS, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat pada hari Jumaat, 23hb. Julai 1999 bersamaan 10 Rabiulakhir 1420H.


Petempatan Sekolah



Sekolah Kebangsaan Bukit Kemandol merupakan sebuah sekolah yang terletak dalam daerah Kuala Langat. Jaraknya kira-kira 40 kilometer dari bandar Klang merangkumi 15 kilometer jalan bertar. Lokasinya terletak bersempadan antara Daerah Petaling Perdana dan Kuala Langat. Pentadbiran sekolah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Klang manakala Pejabat Daerah Kuala Langat mentadbir hal-hal yang berkaitan dengan infrastruktur.

Sekolah Kebangsaan Bukit Kemandol terletak dalam kawasan Taman Desa Kemandol dari suku kaum Temuan dan disempadani perkampungan orang asli Sri Cheeding dan Bandar Saujana Putra. Perkampungan Melayu yang paling hampir ialah Kampung Bukit Cheeding.

Untuk anda sampai ke Sekolah Kebangsaan Bukit Kemandol, dari Kuala Lumpur laluan yang boleh diambil ialah melalui Lebuhraya SKVE dengan menyusuri susur keluar Teluk Panglima Garang seterusnya melalui Jalan Langat ke arah Jenjarom & Kampung Bukit Cheeding.

Sekiranya anda dari Klang, laluan yang boleh diambil ialah Jalan Langat yang akan melalui Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Bandar Bukit Tinggi, Kampung Baru 8 Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Jenjarom seterusnya menuju ke Kampung Bukit Cheeding.


Rumusan


1.  Nama Sekolah               :  SK(A) BUKIT KEMANDOL [BBA0020]
2.  Keluasan                      :  3 EKAR / 0.8 HEKTAR
3.  PPD                                      :  KLANG
4.  Pentadbir Tanah            :  KUALA LANGAT
5.  Jarak                           :  SEKOLAH – PPD = 40 KM
                                         SEKOLAH – JPN = 35 KM
                                         SEKOLAH – PT KLGT = 15 KM
6.  Penduduk                     :  KAUM ASLI [TEMUAN]
7.  Pekerjaan                     :  PEKEBUN KELAPA SAWIT, PEKEBUN
                                         BUAH-BUAHAN, BURUH